Wednesday, November 10, 2010

WHAT DO I WANT?

Lelaki bersuara garau, berdada bidang, berkulit sawo matang, bertanggungjawab, berani, berbudi-bahasa, berdikari, berpandangan jauh, berhati mulia, berfikiran matang.

Perempuan lemah lembut, gemar memasak, ayu, bertudung, sukakan kanak-kanak, pandai mengemas rumah, menerima lelaki seadanya, sopan, rajin, menghormati orang tua.

Ciri-ciri atau kriteria di atas adalah antara “checklist” apabila seseorang itu mencari pasangan hidup. Kita semua mahukan kesempurnaan. Walaupun pada hakikatnya kita sendiri tak akan menjadi sempurna sehingga dunia ini kiamat.

Kita cenderung mencari orang yang lebih segala-galanya daripada kita. Kita merasakan kita berhak medapat segala-galanya dan orang lain yang hendak memikat kita haruslah melayan kita ibarat raja/permaisuri. Kita mahu semuanya tersedia apabila kita menjalinkan satu ikatan dengan orang yang kita percaya akan memberikan kebahagiaan pada kita sehingga akhir hayat.

Tapi, langit tak selalu cerah, awan tak selalu biru, cuaca tak selalu baik. Kadang-kala, langit akan menjadi mendung, awan akan jadi kelabu dan cuaca akan menyusahkan kita. Kita mengharapkan yang terbaik tapi apa yang kita dapat hanya mengecewakan kita. Kita mengharapkan janji dikotakan, dan harapan jadi kenyataan. Tapi banyak yang terjadi, janji tinggal janji dan harapan selalunya musnah.

Apa lagi yang kita cari dalam hidup? Adakah semata-mata untuk bertemu dengan seseorang dan menghabiskan seluruh jiwa dan raga kita pada satu orang sahaja yang belum tentu akan mewarnai hidup kita dengan warna-warna pelangi? Adakah hidup hanya mengejar cita-cita dan kebendaan yang tentunya tidak dapat dibawa bersama apabila kita mati? Atau adakah hidup hanya untuk mengabadikan diri pada kepercayaan yang kita yakini sejak azali?

No comments:

Post a Comment